Nasi Goreng Kunyit

4:30 PM


Hari ini saya teringat pada Nenda saya di kampung - apatah lagi Aidilfitri yang bakal menjelma. Masa kecil saya penuh dengan kenangan hidangan nasi goreng yang enak dan pedas yang dihidangkan ketika kami semua berkumpul - sarapan raya kedua atau ketiga bila lontong, kuah lodeh dan semur ayam sudah tinggal "serdak" sahaja.. Bentang 2 tikar pun belum tentu cukup sebab Nenda saya anak-anaknya 13 orang semuanya - itu tak balik semua biasanya. Bergelimpanglah kami tidur...ruang tamu pun ruang tamu lah.

Kerja masak sarapan Nasi Goreng biasanya makcik-makcik yang merupakan menantu Nenda saya yang akan uruskan dan antara kegemaran saya adalah Nasi Goreng Kunyit ini.


Masaknya tidak rumit, rencahnya tidak renyah...masakan orang kampung kan. Bahan utama udang kering, cili kering dan serbuk kunyit. Saya memang suka giling cili sendiri sebab itu gunting lipat ni antara bahan khazanah yang PERLU ada dalam dapur saya. Cili giling yang sedap mestilah dibuang semua bijinya dan direbus sebelum di giling atau blender. Nasi goreng yang sedap, nasi harus betul-betul sejuk...kalau baru di masak nanti dia "basah" sangat, pada saya tak menjadi.


Kalau saya buat, saya pastikan pedas biar berapi berasap lidah sampai kebas. Lepas tu hirup kopi o panas-panas...adoi Nenek, Along rindu la...


NASI GORENG KUNYIT
BAHAN-BAHAN ( 4 orang )

3 mangkok nasi
1/2 labu bawang besar
1 ulas bawang putih
1 sudu makan udang kering
2-3 sudu makan cili kering yang telah direbus dan digiling 
1/2 cawan sayur kobis
1/2 sudu teh kunyit serbuk
1/2 sudu teh perasa ikan bilis maggi (jika suka)

1 sudu sos tiram
garam secukup rasa

2 sudu minyak untuk menumis

sedikit ikan bilis yang telah digoreng
sedikit hirisan daun bawang

CARA-CARA 

Tumbukkan bawang+bawang putih+udang kering
Panaskan minyak dan tumis bahan yang telah ditumbuk berserta cili giling sehingga naik bau
Masukkan serbuk kunyit+sos tiram dan gaul rata 
Masuukan perasa ikan bilis (jika suka) + sayur kobis +garam dan gaul rata
Setelah itu goreng dan kacau sebati
Akhir sekali masukkan nasi dan kacau rata
Hidangkan bersama-sama sedikit ikan bilis yang telah digoreng dan sedikit hirisan daun bawang





You Might Also Like

0 comments

Nuffnang

Popular Posts

Like us on Facebook

Flickr Images